Metro: Kadar penggunaan kad kredit B40 paling tinggi

 Foto hiasan NSTP

Foto hiasan NSTP

Kuala Lumpur: Statistik menunjukkan bahawa kumpulan berpendapatan lebih rendah (B40) mempunyai kadar penggunaan kad kredit lebih tinggi iaitu 34.2 peratus, jauh lebih tinggi daripada purata negara iaitu 23.7 peratus.

Angka berkenaan dicatatkan pada tempoh sukar di mana kumpulan B40 menggunakan kad kredit untuk menampung kewangan mereka.

Ketua Monash School of Business, Profesor Dr Nafis Alam berkata, selain kumpulan pendapatan, trend juga menunjukkan generasi lebih muda (Gen Y dan Gen Z) menggunakan kad kredit jauh lebih kerap.

"Ini berkemungkinan disebabkan desakan sosial yang meningkatkan tabiat berbelanja," katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan Laporan Kredit Pengguna CTOS bagi Malaysia tahun 2022 yang dikeluarkan CTOS dengan kerjasama Monash University Malaysia (Monash) School of Business, ia mendapati purata baki pinjaman bagi kumpulan B40 adalah sebanyak RM35,531 manakala, bagi segmen pembiayaan perumahan, kumpulan T20 mencatatkan purata baki pinjaman tertinggi sebanyak RM960,712.

Selain itu, menurut laporan itu, purata kemudahan kredit dan baki pinjaman bagi setiap individu untuk kad kredit sekitar RM11,955; pembiayaan peribadi (RM67,470), kereta (RM52,941) dan perumahan (RM368,446).

Ia juga menunjukkan golongan Gen X (berusia 42 hingga 57 tahun) mempunyai baki pinjaman kenderaan tertinggi sebanyak RM60,721.

Bagi Gen Z (berusia 10 hingga 25 tahun) pula, ia mencatat peningkatan tertinggi iaitu 56.1 peratus bagi purata baki pinjaman peribadi pada tahun lalu.

Menurut CTOS, ada pertambahan positif dalam purata Skor CTOS sejak tiga tahun lalu daripada 663 menjadi 678.

Skor CTOS ialah nombor tiga digit yang mewakili kelayakan kredit pengguna berdasarkan bayaran dan pengurusan kredit individu yang diukur antara julat 300 hingga 850.

Semakin tinggi skor, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan kredit.

Menurut laporan itu, walaupun berdepan pandemik, tahap kesihatan kewangan masih berada dalam kategori skor kredit "sederhana" yang mana ia masih berpotensi dari sudut permohonan kredit.

Kadar penggunaan kad kredit yang kekal pada sekitar 24 peratus juga menunjukkan bahawa pengguna secara umumnya tidak perlu menambah pembelanjaan kredit tanpa cagaran untuk menempuh hidup pada masa yang sukar.

Katanya, berbanding negara-negara lain di peringkat global, Malaysia masih jauh di belakang jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat yang mempunyai skor kredit purata 716.

Namun, bagi rantau Asia Tenggara, skor kredit merupakan konsep yang agak baharu.

Berdasarkan laporan itu, walaupun pada amnya skor 678 bermakna kebanyakan warga Malaysia layak mendapat produk kewangan bergantung kepada tahap risiko pemberi pinjaman, namun, mereka berkemungkinan tidak akan mendapat tawaran kredit terbaik di pasaran berbanding mereka yang mempunyai skor kredit dalam kategori "baik ke cemerlang" yang bermula dari skor 697.

Selain itu, terdapat 28.3 peratus pengguna yang tergolong di bawah kategori "rendah dan lemah' yang bermakna mereka tidak akan mendapat kredit daripada pihak institusi kewangan.

Kumpulan ini mungkin akan terdedah kepada risiko menjadi mangsa pemberi pinjaman haram yang lazimnya mengenakan kadar faedah kredit yang terlalu tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Digital, Erick Hamburger berkata, pihaknya percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan kewangan, layak menerima kemudahan dan sumber maklumat yang perlu untuk menguruskan kesihatan kredit mereka secara berkesan.

"Kerana itu kami mewujudkan perkhidmatan semakan kendiri CTOS.

"Kami juga menjalankan sekitar 150 program pendidikan celik kewangan sejak tiga tahun lalu bersama-sama pelbagai agensi.

"Menerusi pelbagai inisiatif ini, kami memberi peluang kepada pengguna untuk belajar dan memperkukuhkan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka dapat menambahbaik kesihatan kredit dan kewangan peribadi mereka," katanya.

Disiarkan pada 12 Mac 2023 

Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

1 Comments

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post