Senarai Emas

Saya baca tentang Senarai Emas (atau the Golden List) dari buku tulisan Jim Stovall berjudul The Ultimate Gift. Satu bab dikhususkan mengenai Golden List. Senarai ini mengandungi semua perkara yang kita syukuri dalam hidup kita.
The Ultimate Gift book

Lalu, beberapa bulan membaca buku tersebut, saya telah menyenaraikan segala perkara yang saya syukuri dalam hidup saya. Saya sedar akhirnya, semakin kita memikirkan perkara yang kita syukuri, semakin banyak perkara positif lain akan kita nampak dalam hidup kita. Kebanyakannya memang sedia ada, cuma selama ini kita tidak menyedarinya. Dan banyak pula perkara positif baru hadir dalam hidup saya selepas itu. Mungkin kerana saya sibuk membilang-bilang nikmat Allah, maka saya sedar akan hadirnya nikmat-nikmat baru itu.

AlhamdulILLAH, saya bersyukur kerana lahir dalam nikmat yang terbesar - nikmat iman dan Islam dan saya kekal dalam nikmat itu sehingga saat ini. Bila saya berfikir akan nikmat ini, saya sedar ada ramai manusia yang Allah tarik semula nikmat yang ini. Mohon dijauhkan, Ya Allah. Dan saya terfikir, "Sedangkan aku yang biasa-biasa, DIA beri nikmat yang luar biasa." Betapa kasih sayangNYA tak tergambarkan oleh fikiran. Lalu, saya menjadi semakin bersyukur.

AlhamdulILLAH, saya bersyukur kerana kebolehan melihat sudut positif dari setiap pengalaman, cabaran dan ujian yang mendatang. Saya melihat hati yang amat penyayang di sebalik wajah emak yang serius dan nampak garang itu. Saya melihat abah yang prihatin dalam senyap tindak-tanduknya. Saya melihat adik yang bertanggungjawab dalam bebelan Abang yang selalu mengkritik penjagaan kenderaan saya. Saya melihat rakan-rakan yang perlukan kata-kata semangat bila mereka menjauhkan diri daripada saya. Saya melihat seorang ibu tua tidak berpelajaran yang punya harapan tinggi bila dia marah-marah pada anaknya yang juga anak murid saya. Saya melihat awan dan kabus yang indah dalam hujan lebat. Saya melihat langit yang cantik ketika panas terik (baju di ampaian pun cepat kering =P). Saya melihat keinginan yang kuat untuk berubah dalam diri rakan-rakan saya yang kurang berpegang pada agama. Kemudian, sejak saya mula melihat perkara-perkara ini pada kali pertama dulu, saya nampak dengan lebih jelas pada kali yang seterusnya. Saya jadi lebih bersyukur lagi.

AlhamdulILLAH, saya bersyukur kerana Islam telah meletakkan matlamat hidup yang jelas pada penganutnya. Di kala orang lain mencari-cari hala tuju hidup, saya telah mengorak langkah ke arah matlamat hidup itu. Pilihan-pilihan lain cuma jadi alat untuk mencapainya. 'Hidup' saya bermula awal. Saya menemui kesilapan-kesilapan lebih awal dan saya punya masa untuk memperbaikinya.

AlhamdulILLAH, saya bersyukur saya diberi peluang membaca buku-buku yang hebat, bersahabat dengan orang-orang yang hebat, belajar dari guru-guru yang hebat dan melalui hidup yang hebat. Bila saya menemui idea-idea yang hebat, saya jadi lebih bersyukur.

Masih banyak yang saya boleh senaraikan. Terlalu banyak hingga jika saya membuka semula jurnal saya pada ketika saya asyik menyenaraikan Senarai Emas saya dulu, air mata saya akan mengalir. Lantas teringat firmanNYA:
"Dan nikmat Tuhanmu yang manakah yang engkau dustakan?" [Surah ar-Rahman]
Jika anda membaca entri ini, andalah salah seorang hebat yang termasuk dalam Senarai Emas saya itu. Terima kasih kerana berada di sisi saya, tak kira secara langsung atau tidak. Tidak percaya anda hebat? Pergi ambil pen dan kertas, tuliskan 'My Golden List' di bahagian atas dan mulakan Senarai Emas anda. Bila habis kertas itu nanti, pasti anda rasa banyak lagi perlu dimuatkan. Dan ketika itu, anda pasti percaya -
ANDA DILAHIRKAN HEBAT!
Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post