Tawa dan Tangis

Sabtu: Ketawa

Aku ketawa melayan karenah kanak-kanak bernama Mujahid. Nak makan. Nak main video game. Nak minuman bergas. Nak tengok handphone.

Yang paling tak tahan, bila aku ketawa, dia kata, "Kakak ni lebih la."

Lagilah besar gelak aku. Aku kata, "Eh, mana boleh kata orang lebih."

"Memang kakak lebih pun."

Suka hatilah adik oi! Yang penting seronok berbual dengan kamu.



Ahad: Menangis

Hari Ahad, lima orang menangis.
=============================================================
Tangisan pertama milik kawan lamaku. Dah lama kami tak bersua. Jadi ambil peluang ini untuk berbual panjang dan makan bersama. Tiba-tiba dapat tahu dia sakit, tapi tak jelas ceritanya. Aku mengesan di sebalik ayat-ayat tersuratnya ada kisah tersirat.

Tak mahu cerita kisah sakitnya. Aku spontan terhambur kata-kata kurang enak. "Kalau kau mati, aku tak tahu sakit kau sebab kau tak mahu bagitahu, aku marah." Lantas dia menangis.

Dan aku beristighfar panjang. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya. Mungkin sebab hari lahir yang makin hampir, mulutku lancang menyebut "mati" "mati" semenjak dua ini.

Aku bukan marah. Aku cuma rasa tak adil. Suka, ketawa, gembira bersama. Tapi sedih, tertekan, sakit disimpan seorang. Tak adil! Tapi aku sedar, rahsia itu hak peribadi. Aku redha.

Bila aku meminta maaf kemudiannya, katanya, "Mati itu pasti." Ya, aku setuju.


=============================================================
Tak lama kemudian, kami beramai-ramai memperbaharui bai'ah kami. Ikatan taat setia. Ikrar berbakti. Kami berempat. Berdiri sebaris. Berpegangan tangan.

Ikrar itu, walau dibaca sepintas lalu, mustahil tak menusuk kalbu. Lantaran telah merasakan tempias jerih-perih perjuangan itu. Lagi pula, kalimah-kalimah terakhir berbunyi:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau menjadi saksi atas ikrar janji dan bai'ah kami."

Allah... Terasa berat pundak ini. Terasa sempit dada ini. Rasa tak tertanggung bahu ini.

Lalu kami berempat berpelukan. Tangis berpanjangan. Lama. Ketika itu, tiada sepatah kata yang keluar. Air mata itu yang berkata-kata. Mata kami berkata-kata. Tangan-tangan kami yang berkata-kata.

Setiap kami, cabarannya unik. Latar kami tak sama. Tapi jalan yang kami pilih ini sama. Kami kongsi yang ini. Moga Allah terus-terusan mengikat hati-hati kami. Sampai mati. Amiin.

Post a Comment

0 Comments