Makan Malam Rakyat PKR Johor

Jumaat dua minggu lepas aku SMS kawan.

"Ko nak buat benda random tak? Aku nak ajak ko pergi jamuan PKR. Sutera Mall. Makan percuma. XD"

"Layan. Aku lapang je masa tu."

Maka, kami pun pergilah ke sana. Oleh sebab kami sampai lambat, jamuan makan dah hampir tamat. Kami pun bukan nak makan sangat, jadi kami duduklah di tempat yang kosong dan mendengar cakap-cakap ahli politik yang ada.

Malam itu, semasa kami sampai, Er Teck Hwa (Ahli Parlimen Bakri) sedang berucap. Kemudian, Dr Boo Cheng Hau (Pengerusi DAP Johor), diikuti Pn Fuziah Salleh (Pengerusi Srikandi PKR), Khalid Ibrahim (MB Selangor) dan Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS). Ucapan terakhir, ucapan kemuncak oleh Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Malaysia).

Alkisah aku dan kawan aku sama-sama Toastmaster. Maka, kehadiran kami pada malam itu bukanlah sangat mahu mendengar cerita-cerita politik yang biasanya dapat dibaca dalam laman maya. (Namun, kami tak nafikan, dengar sendiri dari mulut mereka berganda-ganda lagi menarik bunyinya. Maklumlah, berita sumber sekunder ni banyak rempah-ratusnya sampai hilang cerita asalnya.) Kami ke situ membuat penilaian pada ucapan-ucapan mereka (speech evaluation). Menarik sekali aktiviti kami!

Kami membuat kesimpulan, kami paling suka ucapan Mat Sabu. Pembukaan ucapan lagi dia sudah berseloroh dengan berkata "Jangan dikenang orang yang tak sudi. Lebih baik...." Saya tak ingat penghujungnya sebab para hadirin sudah gelak besar. Kemudian, baru beliau mengalu-alukan tetamu kehormat dan penonton.



Ucapan beliau banyak variasi - ada fakta, ada anekdot, ada lagu, ada sejarah. Dia menerangkan bagaimana cara Rafizi Ramli bercadang menurunkan harga kereta luar negara di pasaran tempatan. Bila dia mahu bercerita tentang kemudahan hospital yang tidak lengkap, dia bermula dengan kisah rakan lamanya yang kemalangan, patah kaki - "Ada seorang kawan saya bernama ... . Dua minggu lepas dia kemalangan, tuan-tuan dan puan-puan. Patah kaki. Besi berceracak keluar dari betisnya. Empat hari di hospital, doktor suruh balik. Mereka kata katil tak cukup, tuan-tuan dan puan-puan." Dia juga menyanyi lagu Bangau Oh Bangau versi satira politik. Pada bahagian "Lembu oh lembu, kenapa tak makan rumput?" dia menyambung dengan ayat lain. *Berdehem-dehem 'Faham-faham sendiri la ya'*

Banyak kami belajar tentang politik dan pengucapan awam malam itu. Sekali-sekala melakukan aktiviti luar dari kebiasaan, menarik juga. Kawan-kawan, ada cadangan aktiviti random lagi?


Post a Comment

0 Comments