10 Idea Sedekah

10 Idea Sedekah Yang Anda Mungkin Tak Terfikir | Sedekah itu mudah bila jadi amalan. Kadang-kadang ada amalan sedekah yang kita tak terfikir. Bila ada kongsi di media sosial, barulah hati kita terdetik, 'Ya tak ya juga ya.' Jadi, sempena bulan Ramadan bulan baik yang hampir tiba nanti, saya kongsikan 10 idea sedekah. Semoga membantu kita semua menambah amalan ibadah kita.

Tumpang tandas sambil bersedekah 

Biasalah bila kita bermusafir, mestilah ada panggilan alam. Lagi-lagi kalau ramai manusia sekereta. Bapak berhenti di R&R, nanti anak pula minta berhenti di hentian, kemudian emak pula minta singgah tandas di pintu tol. Lumrahlah ni, benda tak elok ditangguh, kemudahan pun banyak. Apa kata kalau anda musafir di luar lebuhraya, pilihlah surau atau masjid kecil untuk singgah menunaikan hajat. Selesai melepas hajat, tinggalkan sedekah ke dalam tabung masjid. Mudah-mudahan menjadi sumber pahala berpanjangan selagi masjid atau surau tersebut beroperasi.

Bank transfer ke akaun pilihan

Ada sahaja aktiviti kemanusiaan yang menarik perhatian kita di media sosial bukan? Amat mudah bersedekah pada zaman moden ini. Cuma pindahkan duit ke nombor akaun yang tertera. Kadang-kadang siap ada kod QR, cuma perlu imbas dan masukkan amaun sahaja. Tak kiralah siapa penerimanya, sama ada rumah anak yatim, tabung khairat kejiranan, akaun masjid terdekat, rumah kebajikan orang tua, sekolah tahfiz, tanah perkuburan, atau NGO pemuliharaan haiwan, sedekah begini pasti memberi manfaat tak kira sekecil manapun amaunnya.

Sedekah Jumaat

Anda biasa bersedekah secara atas talian? Tingkatkan prestasi dengan menjadikannya rutin. Daripada bersedekah sekali, jadikan pindahan tersebut auto debit mingguan. Jadilah rutin sedekah Jumaat hari barakah untuk anda setiap minggu. Cara yang sama dengan pindahan wang biasa, cuma di bahagian frekuensi anda boleh letakkan weekly dan tarikh bermula sebelum anda mengesahkan wang tersebut.

Sedekah harian

Tingkatkan lagi amalan dengan sedekah harian. Cara yang paling mudah adalah menggabungkan dua teknik di atas. Cuma kali ini pilih 7 akaun sedekah yang berbeza dan jadikan kesemuanya auto debit mingguan. Contohnya, sedekah rumah anak yatim setiap Isnin, sedekah NGO pemuliharaan gajah setiap Selasa, sedekah tabung kebajikan kejiranan setiap Rabu dan seterusnya hingga cukup sampai Ahad. Dengan cara auto debit, anda memastikan sedekah menjadi rutin harian yang tidak ditinggalkan.

Jika ada rezeki lebih, tambah nilai auto debit sedia ada atau tambah akaun sedekah baru dengan cara yang sama. Bayangkan harta kita yang sentiasa mengalir menjadi manfaat kepada penerima-penerima sedekah tersebut. MasyaAllah.

Masak lebih, kongsi dengan jiran

Sedekah bukan dengan wang ringgit saja. Masa, tenaga, tubuh badan dan segala apa yang kita ada boleh dijadikan sedekah. Barang terpakai yang kita sudah tidak perlukan tapi masih elok, boleh disedekahkan. Contohnya, badan sudah makin comel, baju tidak muat, berikanlah pada anak-anak saudara. Lagi, periuk thermomix yang memudahkan masakan tapi akhirnya anda tinggal seorang diri dan tak memasak lagi, eloklah dimanfaatkan sepupu anda yang punya keluarga besar. Yang paling mudah, masak lebih, berikan jiran atau kongsi bekal dengan rakan-rakan sepejabat. Mudah sangat kumpul pahala.

Cari shelter, tolong bersihkan

Kita mungkin tiada wang, tapi kita sihat bertenaga dan punya masa lapang. Hujung minggu boleh dimanfaatkan dengan kerja sukarela. Carilah shelter haiwan jalanan berdekatan dan tawarkan khidmat anda. Tak mampu selamatkan haiwan jalanan, kita sokong orang-orang yang fokus buat kerja ini dengan bantuan sebegini. Ini pun satu bentuk sedekah juga.

Rumah-rumah kebajikan dan anak yatim juga biasanya lebih memerlukan aktiviti daripada sumbangan kewangan. Anda boleh anjurkan aktiviti dengan rakan-rakan anda untuk menghiburkan atau memberi ilmu kepada mereka. Contohnya, rumah kebajikan orang kelainan upaya mungkin memerlukan aktiviti sukan atau permainan untuk kesihatan mental ahli mereka. Rumah anak yatim juga mungkin memerlukan seminar atau kem persediaan peperiksaan dan persediaan ke universiti.

Khidmat pet taxi

Satu lagi cara kita boleh membantu haiwan jalanan adala dengan menawarkan khidmat pet taxi. Contohnya, NGO Wira Kasseh kadang-kadang dapat mengenal pasti kes haiwan jalanan baru yang memerlukan haiwan tersebut ditangkap kemudian dihantar ke shelter yang berdekatan. Kalau kita tak dapat merawat haiwan tersebut, boleh tolong hantarkan pun sudah cukup baik.

Bersihkan tempat awam

Geli dengan tong sampah besar di hujung blok pangsapuri anda? Sudah adu banyak kali pun pengurusan tidak ambil tindakan. Itu tanda Allah beri peluang anda bersedekah. Mulalah bersihkan sendiri. Anda pasti terkejut dengan bantuan-bantuan yang datang. Mungkin ada jiran yang terfikir untuk bersihkan tapi segan. Bila nampak anda mulakan, dia pun keluar dari rumahnya dengan penyapu, baldi dan sarung tangannya untuk turut bergotong-royong. Jangan lupa hantarkan video sebelum dan selepas dibersihkan kepada pengurusan pangsapuri yang culas tadi. Sedekah anda tetap sedekah. Pihak bertanggungjawab tetap perlu menjalankan tugasnya.

Hantaran atas talian 

Anda lebih suka tinggal di rumah dari keluar menawarkan khidmat sukarela yang memerlukan anda bersosial. Susahnya untuk seorang introvert ya. Tak mengapa. Anda boleh sedekahkan idea dan suara anda melalui media sosial. Hantaran tulisan, audio dan video anda boleh menjadi manfaat kepada jutaan umat media sosial. Anda boleh bertukang, ajarkan tutorial di YouTube. Anda pandai mengaji al-Quran, kongsikan suara dan ilmu anda di TikTok. Anda pandai memasak, kongsikan resepi di Facebook. Blog ini boleh diniatkan sedekah, asalkan saja semua hantaran memberi manfaat kepada pembaca.

Derma organ 

Inilah sedekah terakhir kita. Paling mudah. Langsung tak perlukan apa-apa daripada kita. Organ semuanya Allah yang beri pinjam. Bila diderma nanti, kita sudah tidak perlukannya lagi pun. Malah, 'derma' itu nanti diselesaikan oleh doktor dan orang-orang yang menguruskan jenazah kita, langsung tak perlu tenaga kita. Kita cuma perlu klik aku janji dalam aplikasi MySejahtera. MasyaAllah! Sedekah tak boleh jadi lebih mudah lagi.

Solat Dhuha

Bonus, idea sedekah yang ke-sebelas sempena Ramadan yang hampir tiba. Dipetik dari Solusi Anak Muda:

Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan.

Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha”
( Hadis Riwayat Muslim )



Begitulah 10+1 Idea Sedekah yang boleh kita amalkan. Semoga idea yang anda dapat dari hantaran ini menjadi pahala sedekah bagi saya juga.
Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

3 Comments

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post