Membuat Keputusan

Dulu masa kem zaman universiti, aku pernah ditugaskan jadi moderator modul 'Problem Solving Decision Making' pada 'junior' ahli jawatankuasa kolej. 'Ceh, nama modul sedap! Penyampaian masa modul berjalan pun yakin benar.' Hakikat realiti tak semudah menjalankan satu modul yang berskop ideal dan tekal. Hidup ni terlalu dinamik - sebab inilah manusia merupakan subjek yang paling sukar dimodelkan dalam matematik.

Sekarang bila semakin dewasa, semakin banyak amanah tersandar di bahu, tak kira mahu atau tidak. Semakin kerap pula proses membuat keputusan diperlukan dalam kehidupan seharian. Kadang-kadang keputusan untuk menilai sama ada suatu perkara itu sesuai untuk diputuskan saja sudah cukup sulit - dari segi masa yang sesuai, autoriti, skop kerja peribadi dan keperluan untuk memupuk rasa tanggungjawab pada subordinat.

Stres sangat mempengaruhi manusia dalam membuat keputusan. Pernah satu pagi, setelah aku semalaman tidak tidur kerana mengejar tarikh akhir menghantar tugasan (kesilapan teknikal menyebabkan tugasan yang dihantar awal salah dan langsung tidak terpakai), aku menerima beberapa SMS yang mengganggu ketenangan pagiku yang kaya dengan gelombang alpha.

"Ajan, macam mana susunan orang untuk edaran bahan promosi hari ini?"

"Nampaknya penyertaan program kita tak memberangsangkan. Apa perlu kita buat?"

"Bahan pameran esok masih tidak selesai lagi. Apa perkembangannya?"

Kalau ikutkan rasa, mahu aku matikan saja telefon bimbit usai membaca mesej-mesej tersebut. Malah, ada suara kecil dalam benakku berkata, "Aku ke yang kena fikir? Bukankah ada orang lain yang bertanggungjawab dan boleh buat keputusan?"



Nasib baik DIA bagi ilham melalui satu suara lain dalam kepalaku pula (seolah-olah Mak Sudin yang menempelak, "Din, apa kau sudah gila ya? Bapak kau kan sudah mati 3 tahun dulu."). Kata suara tersebut:

"Ada ke patut kau fikir macam tu? Itu kawan kau, anak buah kau dan ketua kau menuntut hak mereka dari kau. Balas mesej sementara tunggu komputer kau muatnaik tu, bukan luak pun masa kau."

Maka aku menarik nafas panjang dan mengucap syukur pada-NYA yang memberi aku kekuatan. Balas mesej 1, balas mesej 2, balas mesej 3 dan sertakan sekali dalam mesej tu bahawa aku akan matikan telefon - selesai satu kerja. Kerja orang jadi mudah. Kepala aku jadi ringan. Boleh buat kerja sambil menyanyi lepas tu.

Membuat keputusan bukan mudah. Lagi-lagi bila keputusan itu melibatkan orang lain. Tapi kebiasaan membuat keputusan akan menjadikan manusia lebih matang, kuat dan bijak (macam iklan susu formula bayi pula =P ). Jadi, aku kira, bila kita diminta membuat keputusan, DIA sebenarnya memberi peluang untuk kita mematangkan diri. Bila waktu itu waktu terdesak pula dikira sebagai rempah-ratus penyedap rasa.



Berani buat keputusan!
Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post