Ada satu doa yang tak pernah aku aminkan, dan mungkin takkan aminkan sampai ke sudah. Selalunya doa ini orang ucapkan pada hari lahir kita. "Semoga panjang umur..." Dalam hati, aku akan ucapkan 'Naudzubillah'.
Pada usia aku 10 tahun, aku masuk pertandingan mewarna peringkat daerah Kulai, sebagai wakil sekolah. Waktu itu zaman kepimpinan Tun Mahathir Mohamad, jadi tema pertandingan itu adalah slogan yang dimulakan oleh beliau - Wawasan 2020. Aku masih ingat pada ketika itu, dalam khusyuk mewarna, aku mengira umur aku pada tahun 2020. Terdetik dalam hati aku, 'Aku tak hidup sampai umur tu kot.' Terasa jauh dan panjangnya perjalanan untuk sampai ke situ. Kini pada tahun 2026, 26 tahun lamanya selepas 2020 berlalu, aku masih bernafas dan berjalan di bumantara ini.
Aku masuk asrama sejak umur 13 tahun lagi. Pada usia 14 tahun, aku serasa menghadapi krisis identiti pertama dalam hidup aku. Aku mengabaikan pelajaran sampai jatuh ke prestasi yang paling teruk dalam sejarah persekolahan aku. Tak pernah aku setakut ketika itu pada perjumpaan ibu bapa dan guru sepanjang hidup aku. Aku rasa keseorangan, walaupun hidup sentiasa di kelilingi kawan-kawan di kelas dan di asrama. Selalu ponteng kelas hanya untuk tidur di asrama. Aku pun tak faham, duduk asrama lagi bosan kot. Baik pergi kelas. Haha.
Pada usia sekarang, aku masih tak mahu umur yang panjang. Hidup di dunia ini kurasakan sangat memenatkan. Dalam doa-doa aku, aku mohon Allah ampunkan dosa-dosa aku dan selesaikan hutang-hutang aku, selain berkati umurku dan ambillah aku pulang sebaik habis kebaikan bagiku di dunia ini. Tiada yang ingin kukejar di dunia ini melainkan akhirat, dan maraton ini sesungguhnya memenatkan.
Ya Allah, ampuni dosaku, berkati umurku, redakanlah syurga bagiku dan jauhkan aku dari neraka-Mu, serta untuk semua pembaca ini, seluruh muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Amin, wahai Tuhan sekalian Alam.
