Hilang


"Boleh."

Akhirnya dia menjawab soalanku setelah lama mendiamkan diri.

"Tapi," dia menokok perlahan, "bukan saya madunya."

"Maksud sayang?" Aku sedikit tersentak.

"Abang boleh kahwin lain, tapi saya tak mahu bermadu. Jadi tolong lepaskan saya dulu."

Aku bingkas tegak daripada bersandar di kerusi besi itu.

.
.
.

Kami sedang minum petang di beranda rumah, seperti kebiasaan Isnin petang kami. Anak-anak masih di sekolah. Inilah masa kami berbual berdua.

Aku telah lama menimbang-nimbangkan perkara ini. Akhirnya aku putuskan membuka mulut hari ini.

Isteri aku baik orangnya. Dan 'baik' itu perkataan yang terlalu ringkas untuk menggambarkan wanita yang aku kagumi ini. Aku percaya aku akan berjaya memujuknya. Aku telah membayangkan pelbagai senario selepas pertanyaan ini diajukan.

Namun, senario yang ini... langsung tak terlintas dalam benakku. Aku tergamam lama.

.
.
.

Matanya berkaca. "Bukan sebab abang atau perempuan yang abang pilih, tapi ini." Tangan kanannya dilekapkan di bahagian kiri dadanya. "Iman dalam hati ini tak kuat."

Dia berhenti menelan air liur. Air matanya mula mengalir. "Ini nanti mungkin tak tahan cemburu, mungkin dengki. Baik mengundur diri dulu." Jari telunjuknya ditekan-tekan pada dadanya.

Aku bingkas bangun lalu memeluknya dari belakang. Segala kata-kata yang sudah aku karang dalam senario-senario di kepalaku sejak beberapa hari lepas habis hilang. Dia teresak-esak. Aku memeluk bahunya erat, lama.

.
.
.

Beberapa bulan berlalu sejak peristiwa itu. Aku sudah melupakan hasratku. Aku tolak lamaran sahabat lamaku itu.

Wanita yang aku kagumi di sisiku ini langsung tidak pernah mengungkit peristiwa itu sejak aku memaklumkan yang aku membatalkan hasratku. Aku masih ingat yang dia cuma mengangguk kecil, langsung tidak bertanya apa-apa.

Dia tetap hormat padaku. Kami solat berjemaah. Rumah terurus. Kami berbual seperti biasa. Rutin kami berlangsung terus.

.
.
.

Namun, aku perasan.

Perkara-perkara kecil yang berubah. Mungkin dia tak sangka aku memerhatikan.

Diari yang selalu dia hadap setiap malam sudah tiada di atas meja kerjanya. Disorok. Entah kisah apa tertulis yang dia tak ingin aku baca agaknya.

Kalau dulu bila aku bertanya "Sayang fikir apa?" bila dia termenung, dia pasti akan ceritakan apa yang terlintas dalam kepala yang sungguh kaya dengan idea itu. Kini, selalunya beliau cuma menggeleng dan tersenyum padaku.

Bila anak-anak melawan kataku, dulu cepat dia menegur kelakuan mereka. Sekarang, dia lebih banyak mendiamkan diri.

Entahlah.

Mungkin cuma aku terlebih fikir yang bukan-bukan. Mungkin aku yang terperangkap dengan salah percaturan sendiri.

.
.
.

Aku hampir pasti. Petang itu. Di meja putih tempat kami minum petang. Itulah waktunya aku kehilangan kepercayaan wanita besi kesayanganku yang aku kagumi ini.

Dan aku terus berdoa semoga percayanya padaku kembali. Entah bila.

.
.
.

#ajanstorytelling
Nur Afzani Tual
Ingin percaya
Afzani Tual (Ajan)

I take notes of happenings in my life in hope as a piece of my life betters, so does yours.

Post a Comment

Komen anda tertakluk bawah akta Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia.

Previous Post Next Post